Khamis, 15 Oktober 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?



Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang daripada Port Dickson (DUN N. 31 Bagan Pinang) petang tadi. Sewaktu saya di sana, saya telah melihat banyak paparan iklan Barisan Nasional yang telah diletak di tepi jalan-jalan utama DUN Bagan Pinang. Paparan iklan itu antara lainnya menyatakan tentang manipulasi PAS terhadap kanak-kanak di bawah umur (bukan pengundi), janji-janji yang tidak ditepati dan juga politik 'tolak pembangunan' PAS.

Selanjutnya, saya juga sempat melihat paparan iklan PAS yang diletak di persimpangan jalan (berdekatan dengan PD Marina Resort) antara lainnya menyatakan bahawa BN gagal penuhi janji pengundi Rembau semasa PRU-12 dsb.

Sewaktu mengikuti Berita Awani jam 9.00 malam tadi, saya amat tertarik kepada 'amaran' Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Saudara Mohd Firdaus Jaafar yang memberi amaran kepada jentera BN agar menurunkan segala paparan iklan yang mengikut beliau berunsur 'fitnah' dan menyalahi undang-undang dalam masa 24 jam ataupun mereka akan menurunkannya (self-help).

Saya ingin mengulas pertama mengenai paparan iklan BN ataupun PAS dan kedua mengenai 'amaran' menurunkan dalam 24 jam ataupun akan diturunkan (self-help). Saya telah menyelidik undang-undang termaktub berkenaan kesalahan pilihanraya iaitu Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ("Akta tersebut"). Seksyen-seksyen yang relevan adalah Seksyen 9 dan 24B Akta tersebut. Seksyen 9 Akta tersebut tidak ada menyatakan, secara tersurat mahupun tersirat, bahawa ianya adalah suatu kesalahan pilihanraya jika paparan iklan yang bermaksud sebagaimana saya telah katakan tadi sebagai 'pengaruh tidak wajar'. Ini kerana Seksyen 9 Akta tersebut hanya berkata mengenai kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian. Apa yang dikatakan oleh paparan iklan BN hanyalah fakta sebenar atau paling kurang, adalah propaganda politik yang dibolehkan mengikut lunas undang-undang pilihanraya.

Seterusnya, Seksyen 24B Akta tersebut pula menetapkan bahawa apa-apa perjumpaan terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka mestilah mempunyai permit daripada Ketua Polis Daerah (KPD). Tiada apa-apa berkenaan paparan iklan yang mesti mendapat permit KPD.

Saya berpendapat bahawa Seksyen yang relevan, jikalaupun hendak dijadikan sebagai asas rujukan Pasukan Petugas - Kempen Pilihanraya (PP-KPR), dalam mengarahkan penurunan paparan iklan BN hanyalah Seksyen 27E (b) Akta tersebut. Namun begitu, jika dilihat seksyen tersbeut, ianya spesifik kepada bahan-bahan kempen yang tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya (justeru itu hanya Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terpakai, Akta-akta lain seperti Akta Hasutan dsb adalah tidak terpakai). Sebagai contoh, jika dilihat kepada Seksyen 11 (1) (c) Akta tersebut, ianya hanya berkata tentang mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya. Jika dirujuk lagi, Seksyen 11 (1) (d) Akta tersebut, hanya menyatakan membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan palsu mengenai fakta berhubung dengan watak atau kelakuan peribadi calon itu sebelum atau semasa mana-mana pilihan raya bagi maksud menpengaruhi supaya mana-mana calon dipilih.

Oleh itu, paparan iklan BN tidak menyalahi mana-mana undang-undang berkenaan pilihanraya dan sepatutnya dikekalkan selagi ianya tidak melanggar seksyen-seksyen yang telah saya nyatakan diatas.

Berkenaan amaran Saudara Mohd Firdaus untuk menurunkan sendiri paparan iklan BN dalam masa 24 jam (jika tidak diturunkan oleh petugas BN), saya berpendapat ianya bersifat retorik politik sahaja tanpa asas undang-undang yang kukuh. Saya juga ingin menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati aapabila bermain sentimen seperti ini kerana ianya boleh mencetus ketegangan dsb. Adalah lebih baik beliau fokus kepada isu-isu pembangunan setempat DUN Bagan Pinang yang ternyata kurang sekali disentuh oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini.

Sekian, terima kasih.

[Salam Sejahtera & selamat tengahari,

Hari ini (7/10/2009) YBM Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO Malaysia telah membawa ke perhatian saya Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1964. Mengikut YBM Tengku Datuk Seri, seksyen tersebut telah menjadi dasar laporan polis yang dibuat oleh PAS terhadap BN.

Saya telah meneliti dan berpendapat Seksyen tersebut mungkin tidak tepat pemakaiannya oleh PP-KPR dalam menurunkan paparan iklan BN/PAS kerana seksyen itu lebih kepada pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan anatar orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi. Jika disabitkan kesalahan itu, ianya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Apa-apa pun keputusan telah dibuat oleh PP-KPR dan ianya perlu dihormati. Yang pentingnya, PAS sekarang sedar bahawa PP-KPR (atau SPR) tidaklah 'bias' ataupun menjadi 'alat' BN kerana paparan iklan BN juga telah diturunkan.

Sekian, terima kasih]

Selasa, 6 Oktober 2009

Bagan Pinang...

3 hb Oktober merupakan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Bagan Pinang. Nampaknya pembangkang masih tidak berubah. Kekacauan demi kekacauan berlaku. Ketika penamaan hari penamaan calon tersebut penyokong pebagkang bertindak ganas menyerang ahli UMNO yang melalui kawasan berdekatan mereka sehingga mendatangkan kecederaan.

Inikah sikap penyokong parti yang melaungkan pendekatan Islam.. Fikirlah wahai anak bangsaku. Sudahlah, cukuplah dengan segala sandiwara ini... 4 buah negeri yang diperintah oleh pembangkang tiada satupun yang boleh dijadikan contoh yang mencerminkan pendekatan Islam yang di war-warkan. Ajaran Islam penuh dengan kebaikan dan kasih sayang bukannya memupuk semangat kebencian diantara sesama muslim mahupun berbeza agama... ayuh renung-renungkanlah....