Selasa, 30 Jun 2009

Berjuang Politik Atau Agama???

Kelantangan para pemimpin PAS hari ini semakin menjadi tidak keruan. Jika dulu mereka bercakap tentang memperjuangkan negara Islam. Adakah negara kita ini masih belum diakui sebagai negara Islam. Adakah mereka tidak tahu bahawa sudah termaktub dalam perlembagaan Malaysia bahawa Islam itu sebagai agama rasmi persekutuan. Atau mereka hanya sekadar memejamkan mata untuk menipu rakyat demi perjuangan politik sempit mereka???

Semalam akhbar-akhbar perdana menyatakan mursyidul am PAS Dato' Nik Aziz menagajak Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka. Apakah sebenarnya yang terlintas di kepalanya? Tidakkah beliau tahu... Jika mahu berbincang untuk kebaikan agama perdebatan atau dalam Bahasa Arab 'mujadalah' bukan jalan terbaik tetapi jalan terbaik ialah musyawwarah iaitu perbincangan. Begitulah pendapat Mufti Negeri Perak. Perdebatan hanya dilakukan jika berhujah tentang ketauhidan dengan orang kafir.

PS...Tuan-tuan, kita sebagai orang Islam sering diingatkan bahawa kita dianugerahkan Allah akal untuk berfikir. Jadi gunakanlahg akal fikiran kita itu sebaik mungkin dan jangan biarkan hawa nafsu kita mempengaruhi segala perlakuan kita. Semoga kita berada dalam lindungan Allah SWT selalu...

Ahad, 28 Jun 2009

Bersyukur Atas Nikmat Kemerdekaan

Tanggal 31 Ogos 1957 maka tercatatlah tarikh penting dalam sejarah tanah air kita di mana pada ketika itulah negara kita mencapai kemerdekaan secara rasminya. Perayaan menyambut ulangtahun kemerdekaan atau lebih dikenali sebagai Hari Kebangsaan itu telah mengjangkau usia lebih setengah abad.

Adakah kita mengetahui betapa banyak pengorbanan yang terpaksa dibuat oleh pejuang-pejuang kemerdekaan untuk mencapainya. Betapa tinggi nilai pengorbanan itu, sesungguhnya tidak dapat dibayar dengan wang dan harta yang menggunung.

Tapi adakah kita hari ini menghargai dan berterima kasih kepada mereka yang telah banyak berkorban untuk mempastikan anak cucu mereka hidup aman sejahtera hari ini. Tahukah kita sejarah kemerdekaan negara kita???

Wahai sahabat-sahabat, saudara- saudara yang dihormati. Adakah kita pernah bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini???

Sejarah menyatakan bahawa semangat nasionalisme Melayu mula menggunung apabila ada usaha yang dibuat oleh Inggeris untuk menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dengan menubuhkan Malayan Union. Raja-raja Melayu dipaksa oleh Inggeris untuk menandatangi tangani kertas cadangan Malayan Union.

Tetapi dengan kesedaran oleh para pemimpin Melayu ketika itu telah berusaha tanpa mengenal erti jemu untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu kerana bagi orang-orang Melayu, raja adalah lambang kedaulatan raja itu merupakan maruah bangsa Melayu itu sendiri. Jika raja sudah tidak berkuasa lagi maka bangsa Melayu seolah-olah tiada maruah.

Tetapi hari ini telah ada segelintir orang Melayu yang mempertikaikan tentang ketuanan Melayu, mempertikaikan kuasa raja-raja Melayu. Alangkah parahnya jatidiri bangsa Melayu hari ini. Malah ada yang sanggup mencabar hak orang-orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Adakah kita sanggup menjadi hamba dibumi sendiri. Sedarlah wahai anak bangsaku, kita hanya tinggal kuasa yang kini hanya tinggal sekangkang kera. janganlah kita mempertaruhkan masa depan anak cucu kita dek kerana kealpaan kita yang tidak mengenal erti syukur.

Ekonomi negara bangsa lain yang kuasai, pendidikan pun bangsa kita masih ketinggalan, adakah kita sanggup melihat anak-anak kita merempat di tanah air sendiri. Sejarah telah membuktikan, oleh kerana perbalahan, iri hati dan dengki sesama sendiri menyebabkan tanah air kita dijajah hampir 500 tahun. Bukan mudah untuk menggapai kemerdekaan malah untuk mempertahankan kemerdekaan itu lagi sukar.

Yakinlah dan percayalah bahawa tiada lagi parti yang ada di nagara ini yang mempu merpertahankan agama dan bangsa kita selain daripada UMNO. Sepanjang tempoh 50 tahun usia kemerdekaan UMNOlah yang telah banyak mempertahan dan memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

PS...
Saudaraku... kita Allah anugerahkan akal untuk berfikir. Gunalah ia sebaiknya tanpa dipengaruhi nafsu ammarah yang boleh menggugat keimanan kita. Janganlah kita sampai menjadi yang tidak bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang Allah kurniakan kepada kita kerana nescaya jika kita kufur dengan nikmat Allah itu pasti Allah menyediakan kita dengan azab yang pedih.

Rabu, 24 Jun 2009

Ulama' Islam Atau Politik???

Amanat Haji Hadi
The truth about PAS and the amanat (in Malay).

PENGENALAN

Amanat Tuan Guru Hj Abd Hadi ialah suatu sedutan ceramah umum Hj Abd Hadi Awang di kampung Benggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Sedutan itu telah dicetak oleh PAS sendiri untuk edaran.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihanraya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985. Jika bukan PAS yang mengedarkannya di Memali, siapakah lagi?

Lebih jelas lagi Amanat Hadi dikeluarkan dengan restu PAS ialah terdapat versi latar belakang hitam bertulisan rumi seperti di Memali itu masih digantung di dalam Masjid Taqwa Batu 6, milik Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu sejak dahulu hingga ke hari ini.

MENGAPAKAH TIMBUL SEMULA SELEPAS 20 TAHUN BERLALU?

Amanat Hadi ini sepatutnya tidak timbul lagi selepas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat di Pekan, Pahang (Februari 1986) memutuskan bahawa "Amanat Hadi Bercanggah Dengan Islam dan Prinsip Dakwah Islamiah". (Petikan Utusan Malaysia 20 Februari 1986)

Lebih jelas, sepatutnya sudah tidak berbangkit lagi selepas Hj Abd Hadi sendiri gagal menyahut cabaran pengerusi Jawatankuasa Fatwa untuk bermuzakarah sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa ini. (Laporan Utusan Melayu 20 Februari 1986)

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Hj Abd Hadi sendiri membuat penafian dalam akhbar tabloid EKSKLUSIF 21-27 Jun 1999. Beliau mendakwa tidak pernah mengatakan UMNO itu kafir dan dikatakan pula beliau menjelaskan batas-batas iman dan kufur yang termaktub dalam buku Mustika Hadis keluaran Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya beliau mencabar untuk bermuzakarah. Cabaran pengerusi Jawatankuasa Fatwa kenapa tak disambut? Apabila Hj Abd Hadi menjadi Menteri Besar, lidah rasmi kerajaan PAS Terengganu Warta Darul Iman (WDI) yang pertama 01 Jun 2000 pula digunakan untuk menyiarkan kenyataan palsu yang mendakwa "Amanat Hadi dianggap selesai apabila Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan tiada apa-apa kesalahan dari segi agama".

Reaksi daripada kenyataan ini membayangkan usaha Hj Abd Hadi Awang sendiri cuba menghalalkan Amanat Hadi yang telah pun diputuskan bercanggah dengan Islam pada tahun 1986 itu. Hal ini tentunya tambah mengelirukan umat Islam. Yang demikian pertikaian perlu ditimbulkan semula demi mengelak kekeliruan itu terus menghantui umat Islam. Sebab itu Biro Hal Ehwal Islam (BHEIS) UMNO Terengganu memutuskan menghantar surat kepada YAB Menteri Besar meminta bukti seperti dakwaan WDI 01 Jun 2000. Surat BHEIS itu disiarkan oleh Utusan Melayu 21 Julai 2000. Lebih ketara lagi apabila semua pimpinan tertinggi PAS tidak mahu menarik balik dan mempertahankan Amanat Hadi itu. Oleh sebab nampaknya ketara benar PAS mahu terus mempertahankan Amanat Hadi itu, UMNO mesti sedia berdepan.

ISI KANDUNGAN AMANAT HADI JELAS SELEWENG

Mengapakah Hj Abd Hadi tidak mengaku ucapan beliau ditujukan kepada UMNO sedangkan para SATU terang-terang menyebut "Kita menentang UMNO.../...BN bukan kerana nama UMNO.../...BN".

Bukti ditujukan kepada UMNO lebih jelas lagi apabila para DUA menyebut "Dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini". Puak ini itu puak mana lagi kalau bukan UMNO atau BN seperti yang disebut dalam para SATU di atas?

Bagaimanakah boleh timbul hukum "Mati Syahid" sedangkan orang UMNO yang ditentangnya itu tidak kafir? Syarat mati syahid ialah orang Islam melawan orang kafir harbi iaitu orang kafir yang memerangi agama Islam dan menghalau orang Islam. (Lihat maksud Al-Quran ayat 8-9 dari surah Al-Mumtahanah)

TRAGEDI AKIBAT AMANAT HADI

Selepas amanat itu diucapkan pada 7 April 1981, kira-kira setahun kemudian berlakulah suatu tragedi yang menyayatkan iaitu sebulan sembahyang Tarawih dua imam dan Jumaat bergilir dalam satu masjid di kampung Gong Pasir, Besut Terengganu pada bulan Julai-Ogos 1982. Selain daripada laporan Berita Harian 19 Julai 1982, saya sendiri hadir bersama jurukamera membuat liputan video tragedi tersebut.

Selepas itu berlakulah sembahyang Jumaat dua sekampung di 39 mukim berlarutan sehingga tahun 1999. Walaupun PAS sudah memerintah sekarang namun setiap sembahyang Jumaat pasti ada sahaja berbagai ketegangan.

Pada 29 Disember 1985 (40 hari selepas peristiwa berdarah Memali 19 November 1985) YAB Hj Abd Hadi memberi ceramah umum di Kampung Raja, Besut Terangganu. Saya masih menyimpan rakaman dalam bentuk video. Ketika itu Hj Abd Hadi mendakwa keputusan hukum oleh ulamak PAS Kedah "... Dan inilah yang telah dinyatakan oleh ulamak-ulamak PAS negeri Kedah kepada Majlis Fatwa negeri Kedah, bahawa 14 orang sahabat kita yang telah dibunuh itu adalah syahid (Disambut Allahu Akhbar) dan kita kebumikan mereka sebagai syuhada', sebagai orang yang mati syahid yang dikafankan... dan dikafankan dengan pakaiannya yang berdarah, dikebumikan dengan keadaan tidak disembahyangkan, darah mereka dalam keadaan hidup; inilah keyakinan kita bahawa mereka adalah syahid". Hukum PAS ini jelas bercanggah dengan fatwa Jawatankuasa Fatwa negeri Kedah Darul Aman yang jelas menyatakan tidak syahid maarikah (Utusan Melayu 3 Februari 1986).

Apa yang pelik ialah pengumuman yang dibuat oleh Hj Abd Hadi "Inilah keputusan Dewan Ulamak PAS Kedah" telah dinafikan oleh Hj Fadzil Noor dalam Utusan Melayu 7 Februari 1986. Siapakah sebenarnya yang betul?

Tragedi terakhir yang ada kaitan dengan Amanat Hadi ialah perjuangan "Mati Syahid Menentang Kerajaan" oleh kumpulan ajaran sesat al-Ma'unah di Bukit Jenalek, Sauk Perak pada 2-7 Julai 2000. (Lihat Berita Harian 24 Julai 2000)

Banyak lagi jenayah perpecahan di kalangan umat Islam yang tidak mampu hendak disenaraikan di sini seperti kubur asing, menikah dua kali, bercerai suami isteri, tak makan sembelihan orang UMNO, tidak sembahyang mayat orang UMNO dan lain-lain.

MEMPERMAINKAN HUKUM ALLAH DAN MENYELEWENGKAN FAKTA/REALITI

Hukum PAS ialah haram dan kafir untuk orang dan HARUS sahaja apabila menguntungkan PAS. Bukti yang jelas ialah mengenai memerintah negara secara kongsi kuasa. Amalan politik secara kongsi kuasa antara orang Islam dengan bukan Islam di Malaysia ini telah bermula sejak sebelum merdeka iaitu pada tahun 1955. Ia pula bersesuaian dengan contoh Nabi Muhammad s.a.w mengikat janji dalam pemerintahan Madinah tahun 622 Masehi yang lalu.

Namun PAS pernah mengkafirkan orang Islam UMNO yang berbuat demikian. Pada bulan Ogos 1963 Dewan Ulamak PAS Kelantan telah membuat keputusan "Orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram". (Lihat kertas putih kerajaan Malaysia 8 November 1984).

Apabila PAS terlibat sama maka hukumnya menjadi HARUS (1973 - Kerajaan campuran di Kelantan; 1974-1977 bersama dalam kerajaan BN seluruh negara).

Ayat-ayat Al-Quran juga sanggup diselewengkan maksudnya. Satu daripada bukti yang masih tersimpan dalam rakaman kaset ucapan Hj Abd Hadi di Bukit Kulim, Marang pada 24 September 1980. Beliau menyalahtafsirkan maksud ayat 251 surah al-Baqarah "Walaula daf'ullahin nasa ba'dhahum biba'dhil lafasadatil ardh" yang diberikan makna "Dan jikalau Allah tidak menjadikan manusia itu bergaduh, manusia itu berkelahi, manusia itu berperang di antara satu sama lain nescaya rosaklah muka bumi ini. Patutnya bila manusia itu bersatu molek, berpakat belaka, dak kelahi dak berbalah maka jadi molek muka bumi. Tapi Allah Taala kata dalam al-Quran kalu Allah Taala tak jadikan manusia ini bergaduh nescaya muka bumi akan rosak". Sedang sebenarnya ayat itu ialah ayat cerita Nabi Daud yang berjaya membunuh Jalut dan diberikan kuasa memerintah negeri yang dulunya diperintah oleh Jalut itu. Kesalahan pertama ayat penuh 251 surah al-Baqarah ini tidak dibaca semua dari awal hingga akhir, sebaliknya dibaca tengahnya sahaja. Yang kedua tafsirannya boleh difahami sebagai "Tuhan mahu kita bergaduh" telah bertukar maksud asal daripada ayat cerita menjadi ayat hukum waliazu billah.

Amanat Hadi menuduh UMNO/BN mengekalkan perlembagaan penjajah sedangkan sebenarnya perlembagaan negara tidak pernah dikekalkan oleh UMNO dan BN kerana ia sentiasa dipinda. Sehingga tahun 1995 sebanyak 39 pindaan telah dibuat. Kerajaan PAS Kelantan sahaja melalui Dewan Undangan Negerinya telah sebulat suara meluluskan usul mempertahankan perlembagaan tubuh negeri Kelantan (Berita Harian 12 April 1993). Kerajaan PAS Terengganu pun nampaknya tidak berusaha hendak meminda perlembagaan tubuh negeri. Warta Darul Iman ke-15 pada 8 Januari 2001 melaporkan pengakuan YB Hj Harun Taib bahawa pelaksanaan Islam di Terengganu sudah berjalan walaupun belum meminda perlembagaan. Kalau sebenarnya hukum haram/kafir kerana mempertahankan perlembagaan, mengapa urusan meminda perlembagaan negeri Terengganu ini tidak diutamakan? Sanggupkah PAS menjadi kafir kerana kecuaian itu?

Perlembagaan tubuh PAS sendiri juga berikrar mematuhi perlembagaan negara. Lihat fasal 6 ceraian 11 mencatatkan: "Segala tindakan PAS tidak terkeluar daripada batas-batas perlembagaan dan undang-undang negara". Mengapakah pimpinan PAS tidak menjelaskan kepada umum bahawa PAS juga tunduk kepada perlembagaan negara? Semua calon PAS dalam pilihanraya tidak membantah bayaran wang pertaruhan dan lain-lain syarat yang dikenakan dalam penamaan calon dalam setiap pilihanraya itu berlaku. Begitu juga segala faedah daripada hasil peruntukan perlembagaan negara ditelannya belaka. Mereka bak kata peribahasa "Cakap tak serupa tulis, tak serupa bikin" ataupun pakai hukum "Waharamun kalau makan seorang, wahalalun kalau bagi dua". Rela berpura-pura dengan hukum Allah.

Amanat Hadi juga mencipta hukum menjadi kafir mengatakan politik suku agama suku. Amalan dalam sistem pemerintahan dan juga perlembagaan Malaysia tidak pernah memisahkan agama dengan politik. Kedua-dua berjalan serentak dan seiring. Selepas merdeka kerajaan sendiri yang menjalankan usaha dalam segala bidang pembangunan negara dan agama. Perlembagaan negara dengan jelas menyebut raja-raja Melayu selain daripada menjadi ketua agama (Perkara 3); baginda juga menjadi ketua negara/negeri atau kepala utama negara (Perkara 32). Ini membuktikan bahawa agama dan politik di bawah seorang ketua yang sama.

Konsep pemisahan agama dengan politik juga telah diberikan dalam buku ISLAM & POLITIK kajian ilmiah Dewan Ulamak PAS Pusat keluaran September 1980. Bacalah muka 19 & 23 jelas membawa konsep pisah agama dari politik ialah ketua berlainan orang. Selain daripada itu perlembagaan negara perkara 11(4) mengadakan peruntukan melarang menyebar akidah agama lain di kalangan umat Islam. Perkara 12 (2) pula memperuntukkan bahawa wang negara boleh digunakan untuk kemajuan agama Islam tetapi tidak untuk agama lain.

Pembohongan terhadap realiti yang jelas mengelirukan ialah mengenai perjuangan menegak negara Islam. Mingguan Malaysia 13 Ogos 2000 menyiarkan temuramah YAB Hj Abd Hadi Awang. Beliau mendakwa kononnya PAS tidak akan bertolak ansur dalam perjuangan menegakkan negara Islam. Apa yang sudah berlaku pada realitinya ialah DAP menolak pembentukan negara Islam, tetapi YAB Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat menerimanya dengan segala kesyukuran. (Lihat Utusan Malaysia 22 April 1999 dan Berita Harian 15 Mei 1999).

Lebih jelas lagi permainan politik PAS menipu ahli dan penyokong-penyokongnya sendiri ialah kempen hendak "Menegakkan Negara Islam" seperti yang dijaja pimpinan mereka sebenarnya tidak pernah ada dalam perlembagaan tubuh PAS semenjak dahulu lagi.

Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Hj Nik Abd Aziz Nik Mat juga pernah memberikan hukum syahid melawan UMNO. Mengikut catatan dalam buku Parti Islam antara Realiti dan Fantasi oleh Omar Khalid edaran pertama terdapat jelas pada muka 26 berbunyi begini:

"Saya telah mendengar sendiri daripada mulut Ustaz Nik Ab Aziz semasa dia mengajar di Masjid Kampung Pulau Melaka dengan mengatakan JIKALAU MELAWAN UMNO TIBA-TIBA MENINGGAL DUNIA, MAKA KITA DIKIRA MATI SYAHID. Kaset ucapannya itu tidak diizinkan kepada saya untuk mengedar kepada orang ramai kerana kononnya sensitif dan fatwa itu hanya untuk orang dalam semata-mata".

Mahu tidak mahu Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Hj Nik Abd Aziz Nik Mat terpaksa menerimanya kerana beliau terbukti turut membawa hukum SYAHID yang bersamaan dengan Amanat Hadi. Beliau juga mempermainkan hukum Allah.

PEMBOHONGAN YANG AMAT NYATA

Selain daripada mempermainkan hukum Allah dan menyelewengkan fakta/realiti, banyak bukti yang menunjukkan pembohongan yang amat nyata. Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, En. Zakaria Dagang telah berjanji iaitu beliau akan mengemukakan bukti keputusan Majlis Agama Islam Kebangsaan bahawa Amanat Hadi tidak bercanggah dengan Islam (Laporan Utusan Malaysia 23 Julai 2000) Tetapi sehingga hari ini belum ada apa-apa reaksinya.

Suatu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan ialah penafian sembahyang dua imam. Hj Abd Hadi dalam ceramah umumnya di Kuala Besut, Terengganu yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 27 Januari 1983 menyebut beliau menafikan berlakunya sembahyang Tarawih dua imam dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Kampung Gong Pasir, Besut pada bulan Jun-Julai 1982. Hj Abd Hadi mengatakan: "Perkara ini adalah sengaja diada-adakan oleh kerajaan bertujuan untuk memburukkan kepercayaan orang ramai kepada parti PAS". Demi Allah saya dan jurukamera yang dikawal rapi oleh dua buah kereta Land Rover polis Kg. Raja akan tetap menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t bahawa sembahyang dua imam Tarawih dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Gong Pasir itu BENAR-BENAR berlaku selama sebulan Ramadan 1982. Seluruh ahli jamaah masjid Gong Pasir kira-kira 80 orang lelaki dan perempuan sebenarnya mengerjakan sembahyang serentak berlawanan itu. Mengapakah Hj Abd Hadi sanggup menutup bangkai gajah yang sebesar itu dengan nyiru iklan buatan sendiri? Demikian seterusnya mengenai Bank Islam. Dulu Hj Abd Hadi kata tidak bererti kerana ia hanya kulit yang berlambangkan Islam tetapi sekarang telah memuji dan menggunakannya.

Lebih mudah lagi diterima oleh orang awam terhadap hujah YAB Hj Abd Hadi apabila beliau membuat alasan petikan atau rujukan kepada Mustika Hadis jilid pertama Jabatan Perdana Menteri, walaupun ternyata bohong. Setelah diteliti berulang kali pada bab Rosak Iman dan Islam, namun tidak ditemui dalam Mustika Hadis jilid pertama itu tentang rosak iman dan Islam kerana "Mempertahankan perlembagaan kafir" dan tidak ditemui juga hukum "Menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku" sebagaimana yang disebutkan oleh Hj Abd Hadi dalam Amanat Hadi itu. Jadi bagaimana Hj Abd Hadi boleh kata amanatnya selaras dengan apa yang tertulis dalam Mustika Hadis jilid pertama itu?

PENUTUP

Penyelewengan isi kandungan Amanat Hadi jelas mengelirukan pegangan umat Islam.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan Amanat Hadi Bercanggah Dengan Islam pada tahun 1986 itu sudah tentu mempunyai alasan yang kukuh. Oleh itu setiap orang Islam perlu terima dan patuh kepada fatwa tersebut tanpa ragu-ragu lagi. Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terdiri daripada semua mufti dalam Malaysia.

Article contributed by: Dato' Shafei Daud

Att:

Wahai saudaraku yang Dirahmati Allah sekelian, kita dianugerahkan akal oleh Nya.. Gunakanlah ia sebaik mungkin.. Semoga kita digolongkan dikalangan orang yang beriman dan bertaqwa.. InsyaAllah....

Selasa, 23 Jun 2009

Menang Sorak Kampung Tergadai

Perkembangan politik negara hari ini amat membimbangkan. Dewasa ini terdapat sesetengah ahli politik yang meletak pangkat di hadapan berbanding dengan keamanan dan ketenteraman rakyat untuk meneruskan kehidupan seharian.

Ramai ahli politik hari ini yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding dengan kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Saya boleh kelaskan ia sebagai 'TRAGEDI" bukan lagi masalah kerana ia melibatkan semua parti politik yang ada di negara kita ini, tidak parti kerajaan mahupun pembangkang.

Krisis kepimpinan di negeri Terengganu contohnya, jikalau kemelut yang melanda diselesaikan dengan baik tanpa ada hasad dengki tetapi bertunjangkan keikhlasan dalam berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tidak mungkin Pengerusi perhubungan UMNO negeri diberi kepada orang luar. Ketidaksefaham antara pemimpin menyebabkan rakyat di bawah kucar-kacir kerana wujudnya puak-puak dalam UMNO.

Jikalau tragedi ini dibiar menghantui rakyat tidak mustahil dalam pilihanraya yang ke-13 nanti UMNO akan kehilangan kuasa. Kami generasi muda bukan bencikan UMNO, kami sayangkan UMNO kerana parti keramat inilah sejak sekian lama membela nasib agama, bangsa dan tanah air tetapi kami sudah bosan dengan sikap pemimpin dalam UMNO yang lebih mementingkan pangkat daripada duduk semeja untuk berunding menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Ingatlah bahawa ALLAH S.W.T telah berfirman: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah nikmat-Ku kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu mengingkarinya (kufur nikmat), maka azab-Ku amat pedih. Surah Ibrahim ayat 7

Marilah sama-sama kita renungkan janji Allah itu kerana kita dianugerahkan akal untuk berfikir....